Home » , » Masalah Rumpai Dalam Pertanian

Masalah Rumpai Dalam Pertanian

Written By Muhammad Yusuf on Thursday, June 23, 2011 | 4:50 PM


Rumpai menimbulkan kesan yang sangat jelas ke atas pengeluaran hasil pertanian. Ini kerana rumpai biasanya lebih agresif dan dapat menyesuaikan pertumbuhannya walaupun dalam keadaan yang kurang baik. Sifat begini biasanya dipunyai oleh kebanyakan spesies rumpai yang hidup di dalam kawasan pertanian. Selain daripada sifat yang dinyatakan itu, rumpai juga mempunyai beberapa sifat lain yang agak istimewa berbanding dengan tanaman. Kesemua sifat ini akan menolong rumpai untuk bersaing dengan tanaman. Rumpai lebih berjaya dalam persaingan terhadap nutrien, air, karbon dioksida, dan cahaya jika dibandingkan dengan tanaman. Ini menyebabkan kemerosotan hasil dalam kebanyakan kawasan pertanian.
Dalam tanaman tertentu, rumpai menyebabkan peratus kemerosotan yang sangat tinggi. Ini sepertirumpai Echinochloa crus-galli yang tumbuh dalam sawah dan bersaing dengan pokok-pokok padi dan akan mengakibatkan pengeluaran padi merosot. Rumpai selain daripada mengurangkan hasil ia juga akan menjejaskan kualiti tanaman disamping meningkatkan kos pengeluaran. Ini kerana biji atau serpihan daripada rumpai sering bercampur dengan hasil tuaian. Ini sering berlaku semasa menuai tanaman bijirin dengan menggunakan alat jentera. Bijirin yang tercemar dengan biji-biji rumpai mempunyai harga pasaran yang rendah. Contohnya, padi yang bercampur dengan biji-biji rumpai akan dikelaskan dengan gred yang rendah. Malah bahagian-bahagian tanaman yang bercampur dengan biji-biji rumpai akan menyebabkan kerosakan semasa penyimpanan. Serpihan rumpai biasanya lembap dan semasa pereputan haba akan terbebas dan kulat pada serpihan rumpai boleh menjangkiti tanaman dan merosakkannya. Semua ini akan menjejaskan kualiti tanaman.
Rumpai turut meningkatkan kos pengeluaran kerana penggunaan buruh dan racun rumpai bagi mengawal pertumbuhannya. Merumput rumpai perlu dilakukan terutama dalam peringkat tertentu dalam masa pertumbuhan tanaman. Misalnya, dalam tanaman kacang tanah,rumpai perlu sentiasa dijaga rapi dalam tempoh 4 minggu pertama. Jika ia tidak dijaga rapi dalam tempoh ini, maka pertumbuhan pokok akan terencat. Ini akan merugikan petani.
Rumpai boleh menyebabkan kerugian yang besar dalam penghasilan tanaman, dan keindahan alam sekitar. Oleh yang demikian rumpai perlulah dikawal pertumbuhannya. Terdapat pelbagai kaedah pengawalan rumpai yang boleh digunakan. Antaranya, kawalan secara mekanik, kawalan secara biologi, kawalan secara pencegahan melalui amalan yang baik dan kawalan secara menggunakan racun rumpai.
Share this article :

Post a Comment