Home » » Teknologi Aeronopik

Teknologi Aeronopik

Written By Muhammad Yusuf on Monday, July 4, 2011 | 2:49 AM

SARANAN kerajaan agar sektor pertanian menumpukan kepada pengeluaran makanan menjadi dorongan kepada Sime Darby, sebuah syarikat yang terkenal dengan ladang-ladangnya yang luas, untuk beralih kepada pertanian intensif dalam bentuk pengeluaran sayur-sayuran. Menerusi anak syarikatnya, Sime Aerogreen Technology Sdn. Bhd. (Sime Aerogreen), ia telah berjaya mewujudkan satu kawasan penanaman berteknologi tinggi di kawasan seluas lima hektar berhampiran Seremban.
Ladang terletak di sebelah Lebuh Raya Utara-Selatan itu mencatatkan sejarah tersendiri sebagai ladang aeroponik pertama di Malaysia. Menurut Pengarah Urusan Sime Aerogreen, Abdul Shukor Nagor, ladang tersebut sebenarnya mempunyai ciri-ciri yang lebih menyamai sebuah kilang kerana ia tidak menggunakan tanah, tidak berbau dan tidak bergantung kepada cuaca.
”Pengeluaran tanaman daripada ladang ini boleh dilakukan 365 hari setahun, dalam apa jua cuaca, sama seperti sebuah kilang,” katanya semasa memperkenalkan ladang itu kepada sekumpulan wartawan baru-baru ini. Beliau berkata, peralihan kepada sektor pengeluaran makanan merupakan satu tindakan strategik bagi kumpulan Sime Darby. Projek tersebut, yang menumpu kepada penanaman sayuran iklim sederhana dan sub-tropika, menelan belanja RM13 juta dan telah beroperasi pada Februari lalu. Adalah diharapkan dengan adanya projek tersebut, import makanan negara yang kini berjumlah RM800 juta dapat dikurangkan pada masa depan. Ladang ini dijangka mampu mengeluarkan 400 tan metrik sayur-sayuran setahun.
Sayur yang dipasarkan di bawah jenama Sime Fresh itu kini boleh didapati di kira-kira 60 buah pasar raya di sekitar Lembah Klang dan Seremban. Orang ramai juga boleh membeli sayur-sayuran tersebut terus dari ladangnya yang terletak di Kilometer 4 Jalan Labu. Di samping rumah hijau berautomasi, ladang itu juga mempunyai kawasan membersih dan membungkus, kemudahan penyelidikan, bilik persidangan dan asrama kakitangan.
Menurut Abdul Shukor, antara keistimewaan sayur aeroponik ialah kandungan bahan galian seperti kalsium, potasium, magnesium dan zat besi yang lebih tinggi daripada sayuran biasa, tidak menggunakan sebarang pestisid, lebih segar dan tahan lebih lama dalam simpanan, kurang pembaziran (semua bahagian sayuran itu boleh digunakan) serta lebih sedap. Sayur iklim sederhana yang ditanam di situ ialah salad jenis Golden Butterhead, Royal Romaine, Imperial Batavia dan Grand Lollo Rossa, manakala jenis sayuran sub-tropika pula ialah Kai Lan Jepun, Sawi Shantong, Sawi Putih Emperor, Sawi Putih Princess dan Sawi Putih Nai.
”Kami melihat kaedah ini berpotensi untuk berkembang, dan kami sedang mengkaji kemungkinan untuk mengeksport sayur-sayuran ini serta memperluaskan kawasan penanaman ke negara-negara yang tinggi kadar pengambilan sayur-sayuran atau ke negara yang sumber airnya terhad,” kata Abdul Shukor. Selain sayur-sayuran hijau, bahagian penyelidikan syarikat tersebut juga sedang mengkaji kaedah penanaman sayuran berbuah seperti tomato dan timun, serta herba masakan secara aeroponik. ”Penanaman sayuran berbuah ini akan dibuat di bahagian atas ladang, yang bakal dimajukan sebagai kawasan pelancongantani (agrotourism) menjelang akhir tahun ini,” kata Pengarah Penyelidikan Sime Aerogreen, Joseph Tek Choon Yee. Beliau berkata bahagian penyelidikan telah memperoleh 10 peratus daripada peruntukan modal ladang untuk menjalankan kajian terhadap jenis sayur-sayuran yang sesuai dimajukan.
Katanya, penanaman herba masakan yang dibuat di bahagian penyelidikan bukanlah untuk pasaran besar kerana matlamatnya adalah pasaran herba basah, dan pada masa ini ‘pasaran herba basah agak kecil di negara kita’.
Antara herba masakan yang boleh didapati di ladang ini ialah selasih (basil), oregano, dil, thyme dan lemon balm. Menurut Joseph, sayur-sayuran yang ditanam secara aeroponik boleh dimakan terus (tanpa dibasuh) kerana proses penanamannya bersih disebabkan ia terlindung daripada hujan manakala semburan nutrien pula hanya terkena pada bahagian akar dan tidak pada batang atau daun pokok. Penanaman aeroponik adalah kaedah penanaman tanpa tanah yang dapat menjimatkan penggunaan air. Berbeza dengan kaedah hidroponik yang memerlukan akar tanaman terendam dalam nutrien, kaedah aeroponik memerlukan ruang udara antara akar pokok dan paip yang menyemburkan nutrien dan air untuk melembapkan dan menyuburkan pokok.
Proses penanaman bermula dengan percambahan biji benih. Setelah dua hari di dalam bilik percambahan, anak pokok itu dipindahkan ke tapak semaian dan dibiarkan selama dua minggu sebelum diletakkan di atas palong di dalam rumah hijau. Di rumah hijau itu, sayur-sayur berkenaan akan dibiarkan membesar sehingga sampai masa untuk dituai. Palong-palong di rumah hijau itu diperbuat daripada polistyrene untuk mengelak penyerapan haba.
Di bahagian tengah palong diletakkan paip yang mempunyai alat semburan yang direka khas pada jarak yang tertentu. ”Alat penyembur itu akan menyemburkan nutrien dan air yang telah disejukkan ke bahagian akar tanaman pada kekerapan tertentu. Ruang yang ada antara paip dan akar tumbuhan itu membolehkan tanaman memperoleh oksigen secukupnya untuk pembesaran yang lebih cepat dan sihat. ”Semburan air sejuk itu dapat ‘menipu’ tanaman sehingga membolehkan kita menanam sayur iklim sederhana di kawasan rendah dan panas seperti di sini,” kata Joseph.
Menurutnya, dua elemen penting dalam proses aeroponik ialah air dan bekalan elektrik. Kaedah aeroponik merupakan kaedah yang paling menjimatkan air, iaitu menggunakan kira-kira 10 peratus air yang digunakan dalam kaedah hidroponik. Lebihan air semburan di palong akan dikumpulkan dan disalurkan kembali ke tempat penyejuk untuk dikitar semula dalam proses semburan berikutnya.
”Sistem aeroponik merupakan sistem penanaman paling efisien dari segi penggunaan air. Pengaliran air dilakukan dalam satu aliran tertutup, dan ini bermakna, tidak ada sebarang bahan cemar terlepas ke persekitaran,” kata Joseph. Manakala tenaga elektrik pula penting untuk menggerakkan alat penyejuk serta peralatan komputer canggih yang digunakan untuk mengawal setiap peringkat proses penanaman itu.
Kawalan komputer ini memudahkan proses memantau parameter-parameter penting dalam proses berkenaan. Seperkara lagi unik mengenainya ialah tidak ada racun serangga digunakan dalam proses penanaman itu. Menggunakan sistem Pengurusan Serangga Bersepadu (IPM), ladang itu hanya meletakkan perangkap lekit, perangkap hormon dan perangkap lampu sebagai kaedah tambahan untuk mengawal serangga yang sebahagian besarnya dapat disingkirkan dengan adanya skrin halus di rumah hijau itu.
”Kaedah penanaman ini mempunyai hasil tuai yang lebih tinggi, lebih baik peluang untuk hidup dan paling jimat menggunakan air,” katanya. Memandangkan segala proses penanaman dikawal komputer, ladang ini memerlukan tenaga kerja minimum tetapi berpengetahuan tinggi, kata Pengurus Ladang, Lee Cheng Yee. Cuma 15 pekerja termasuk lima di peringkat pengurusan, diperlukan untuk melakukan kerja-kerja di kawasan ladang seluas 5 hektar ini.
Panel kawalan akan membunyikan alat penggera jika berlaku sebarang masalah dalam proses penanaman itu dan tiga kakitangan, yang terdiri daripada seorang jurutera dan dua orang penyelia yang tinggal dalam kawasan ladang, akan membuat pemeriksaan mengesan puncanya. Konsep aeroponik ini telah dimajukan oleh seorang profesor di Singapura yang telah mewujudkan ladang aeroponik pertama di Republik itu. ”Di ladang ini, kami cuma mengambil konsepnya manakala segala reka bentuk bangunan dan kawasan dilakukan sendiri,” ujar Lee. Pada masa ini ladang itu mampu mengeluarkan hasil antara 10 hingga 11 tan metrik sebulan, namun ia mampu menghasilkan kira-kira 1 tan metrik sehari.
Share this article :

Post a Comment